@azyyatiliah

Skim MyDeposit 2018: Skim Pembiayaan Rumah Pertama


Kredit: FB Friends of BN - Barisan Nasional


Entry ini untuk rujukan diri sendiri di masa akan datang. Kepada yang tak tahu, MyDeposit ini merupakan Skim Pembiayaan Rumah Pertama. Bagi yang tak pernah beli rumah dan berhajat nak memiliki rumah pertama boleh rebut peluang ini. Kerajaan bayarkan 10% deposit untuk rumah pertama anda. Skim MyDeposit ini bentuk sumbangan jadi tak perlu bayar balik. Cuma rumah yang dibeli melalui skim ini tidak boleh dijual untuk tempoh 10 tahun selepas pembelian.


Tujuannya untuk membantu golongan M40 iaitu golongan isi rumah yang berpendapatan RM3,000-RM9,000 dengan membiayai deposit rumah pertama mereka.



Syarat-syarat:


1) Pemohon berumur 21 tahun ke atas
2) Pembelian rumah pertama
3) Hartanah di bawah RM500,000


Jika menepati kesemua syarat di atas, bolehlah mulakan misi mencari rumah. Tidak kira sama ada rumah baru atau ‘subsale’. Harga rumah mesti bawah RM500,000 ya.



Bila dah jumpa rumah idaman:


1) Isi borang permohonan
- Permohonan akan dibuka pada tahun hadapan. Borang ini penting untuk semakan Jabatan Penilaian Permohonan.



Bila permohonan dah lulus:


2) Anda akan terima Surat Tawaran Bersyarat Skim MyDeposit
- Surat Tawaran inilah yang akan jadi ‘cagaran’ untuk biaya deposit 10% rumah anda.

3) Cari, semak dan mohon pinjaman perumahan
- Pinjaman perumahan perlu disemak dan dimohon sebelum tanda tangan Perjanjian Jual Beli (S&P). Kebiasaannya pinjaman perumahan akan turut meliputi kos insuran dan kos guaman bagi pinjaman.

4) Tanda tangan S&P
- Selepas pemohanan pinjaman perumahan berjaya, anda boleh tandatangan perjanjian S&P. Jika rumah yang dibeli berstatus ‘undercon’ atau sedang dibina, pemaju selalunya akan ‘serap’ kos guaman bagi S&P.

5) Tanda tangan Surat Tawaran Pinjaman
- Anda akan terima ‘Offer Letter’ dari bank jika pinjaman anda diluluskan.



Bila dah selesai tanda tangan surat tawaran:


6) Penjual atau Pemaju akan membuat tuntutan deposit 10% tadi kepada kerajaan menggunakan surat Tawaran Bersyarat MyDeposit tadi.

7) Kerajaan akan membayar deposit tersebut dan akan melakukan pemantauan projek.



Ambil perhatian:


1) Ada ‘setback’ tentang skim ini dimana anda tidak boleh menjual hartanah tersebut dalam masa 10 tahun

2) Skim MyDeposit juga tidak terpakai bagi projek-projek perumahan kerajaan seperti PR1MA, PPA1M, RUMAWIP dan PPR.


Walaubagaimanapun, skim ini amat membantu golongan isi rumah untuk memiliki rumah pertama pada ‘zero-entry cost’. Maklumlah, deposit rumah kerajaan bayarkan, kos S&P kebiasaannya pemaju bayarkan. Kos insurans rumah dan guaman juga boleh dimasukkan dalam pinjaman.


Skim MyDeposit 2018 hanya mempunyai kuota sebanyak 2,000 slot sahaja. Maknanya siapa cepat dia dapat.

Tahukan anda permohonan untuk 2017 dah ditutup lama dan akan dibuka semula pada awal tahun 2018.






2 comments:

  1. wah...bermanfaat sungguh...tq azy share info...kalau dah bukak permohonan nanti azy war-war kan lah ye...semoga ada rezeki dapat deposit free tuhh...amin....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi Shahdiana. Terima kasih awak. Kene selalu check ehome website. Rugi sebagai rakyat Malaysia kalau tak ambik peruntukan yang disediakan. Tapi itulah nak beli rumah sekarang kemain mahal harganya!

      Delete